SUAMI MALAS MENCARI NAFKAH,APA PERLU ISTERI LAKUKAN?

10:55 PM yong norliza 1 Comments


Soalan:
Saya dan suami berkahwin atas dasar suka sama suka. Usia perkahwinan kami masuk tahun ke-6. Kebelakangan ini suami saya menjadi semakin malas mencari nafkah selepas diberhentikan kerja. Hal ini amat merungsingkan saya apatah lagi kami ada dua orang anak yang sedang membesar. Apa yang patut saya lakukan agar dia kembali rajin bekerja dan melunaskan tanggung jawab yang patut dipikulnya?



Jawapan:
Berdepan dengan kes seperti ini, perkara paling penting untuk isteri lakukan ialah sentiasa sedarkan suami mengenai tanggung jawabnya. Adakan perbincangan hati ke hati, luahkan ketidakselesaan anda. Jelaskan mengenai keperluan anda dan anak-anak yang sepatutnya menjadi tanggungannya. Jika anda berkemampuan sekali pun, tanggung jawab suami tetap tidak berubah.
Carilah masa yang sesuai untuk anda meluahkan segala isi hati dalam nada rayuan dan memohon belas kasihan. Luahkan kesedihan kerana suami tidak berusaha menjalankan tanggung jawab seperti dijanjikan ketika sama-sama menjejak mahligai bahagia selepas akad nikah. Merayu, bukan marah-marah atau berkeras. Ada suami yang kalah dengan rayuan dan tangisan si isteri.
Namun, jika suami bukan jenis yang boleh dibawa berbincang, bukan juga jenis yang mahu mendengar rayuan isteri, usahakan untuk temukan suami dengan pihak ketiga bermula dengan pegawai penasihat di pejabat agama berkaitan.
Ingat! Pejabat agama melalui Unit Aduan dan Kaunseling bertanggung jawab memberi khidmat nasihat agar hubungan perkahwinan bermasalah dapat dipulihkan, bukan untuk perceraian. Jika suami masih enggan mendengar nasihat pegawai berkaitan, dapatkan bantuan ahli keluarganya. Biarlah keluarga menjadi tempat rujukan terakhir sebab risikonya lebih besar jika keluarga tahu kekalutan rumah tangga anda.
Anda perlu ingatkan keluarga suami, jika suami masih gagal menjalankan tanggung jawab, mereka bertanggung jawab mengambil alih tanggung jawab suami. Peringatan itu perlu agar keluarga suami berusaha keras untuk mengubah sikapnya.
Suami juga perlu diberikan tempoh untuk dia berubah. Tidak perlu tunggu lama, memadai tempoh maksimum tiga bulan agar dia berubah sikap untuk menunaikan tanggung jawab. Pastikan suami berusaha sedaya upaya. Sebagai contoh, anda tetapkan dalam tempoh tiga bulan bermula hari ini, suami perlu mencari kerja.
Jika pendapatannya hanya dapat menampung sebahagian kecil keperluan keluarga, berikan sokongan agar dia terus berusaha. Penting untuk anda ketahui jumlah pendapatan sebenarnya. Maklumat ini perlu agar hak anda dan anak-anak terbela selain mengelakkan suami tidak tersasar daripada peranannya yang sebenar sebagai suami dan bapa.
Daripada jumlah tersebut, tetapkan berapa yang perlu diberikan kepada anda dan anak-anak. Jika anda masih perlu membantu, catatkan ia sebagai hutang yang perlu dibayar bila suami berkemampuan. Bukan berkira tetapi itu kehendak syarak.
Jika nasihat keluarga sendiri tidak dipeduli suami, jalan terkahir ialah mendapatkan perintah daripada Mahkamah Syariah. Bukan untuk bercerai tetapi perintah agar suami dan ahli keluarganya memberikan jumlah nafkah yang patut kepada anda dan anak-anak.
Di samping segala ikhtiar, panjatkan doa kepada Allah SWT. Berdoalah, jika suami masih baik untuk perkahwinan, anda dan anak-anak, ubahkan sikapnya menjadi soleh dan bertanggung jawab. Jika sebaliknya, berikan anda petunjuk dan kekuatan untuk menghadapi apa  juga keputusan yang terbaik yang ditentukan-Nya.

Untuk maklumat lanjut berkaitan produk & order, boleh hubungi saya: 

Norliza Binti Othman 

Shaklee Independent Distributor : ID 879163 
sms/whatsapp: 019 2638675
Pm fb : Mommy Lizz Health and Beauty Care

1 Comment:

Nys Anis said...

berdoa senjata kita , insyallah semua dipermudahkan

entri baru : http://blurrr4evablurr.blogspot.com/2014/11/blogger-buat-duit-online.html